Hantar Artikel Anda Kepada Kami


Sebarang Artikel boleh dihantar melalui e-mail kami iaitu :- darul_taqwa09@yahoo.com

FOKUS UTAMA

RAMADHAN YANG SENTIASA DINANTI


RAMADHAN YANG SENTIASA DINANTI

Bismillahirrahmanirrahim…

Salam Ramadhan kepada semua pembaca Blog Kemuniti Imarah Darul Taqwa ana harap semuanya sihat walafiat di samping menjalani ibadat puasa yang difardukan bagi setiap orang mukmin.

Ramadhan kini kembali, setelah setahun kita menunggu kedatangannya. Di mana bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan di dalamnya. Pada bulan Ramadhan kita diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas umat-umat terdahulu. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.”

Oleh itu, marilah sama-sama kita merebut peluang ini untuk meningkatkan amal ibadat kita kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan hamba Allah yang bertaqwa.
Teringat juga ana dengan sebuah  hadis yang menceritakan tentang fasa-fasa Ramadhan.
1.Sepuluh terawal ialah rahmat
2. Sepuluh yang kedua ialah keampunan
3. Sepuluh yang terakhir ialah pelepasan daripada azab api neraka Allah.

Banyak peristiwa yang berlaku di dalam bulan yang mulia ini yang memberikan impak yang besar kepada agama Islam. Di antara peristiwa-peristiwa tersebut ialah :
1.     Penurunan Al-Quran
2.     Kewajipan Berpuasa
3.     Tercetusnya Perperangan Badar Al-Kubra
4.     Pembukaan Kota Mekah

Dan di antara peristiwa-peristiwa lain yang berlaku di dalam bulan Ramadhan ialah :
*Rasulullah SAW mengutuskan Saidina Ali ke Yaman untuk menyebarkan Islam pada  tahun 10 Hijrah.
*Kewafatan Saidina Ali RA, pada tahun 40 Hijrah.
*Perperangan Al-Qudsiah menentang Farsi pada tahun 15 Hijrah.
*Pembukaan Andalus pada 28 Ramadhan tahun 92 Hijrah.
*Kemenangan tentera Islam yang dipinpin oleh Nuruddin Al-Zanki ke atas tentera salib pada tahun 599 Hijrah.
*Perperangan Ain Jalut yang dimenangi oleh tentera islam pada tahun 658 Hijrah / 3 September 1260 Masihi.
*Kelahiran Alim ‘allamah Al-Aini, pengarang kitab Umdatul Qari Syarah Sahih Bukhari pada tahun 762 Hijrah.

Terdapat beberapa fadhilat di dalam bulan Ramadhan yang melebihi bulan-bulan Islam yang lain. Antaranya ialah :
            1.Puasa fardhu
            2. Malam Lailatul Qadar
            3. Diturunkan Al-Quran
            4. Pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu
            5. Solat terawih
            6. Penghulu segala bulan
7. Pahala ibadah Sunat disamakan dengan pahala ibadah Wajib di bulan lain & amal wajib pahalanya diganda menjadi 70 kali ganda.

Dibulan Ramadhan kita dianjurkan menunaikan solat terawih secara berjemaah. Setelah selesai solat isyak secara berjemaah. Ada masjid atau surau melakukan solat terawih lapan rakaat dan ada juga yang melakukan 20 rakaat. Ini bergantung kepada imam masjid atau surau tersebut. Alangkah ruginya orang-orang yang tidak mengambil peluang yang di berikan oleh Allah SWT untuk beribadah.

Jika diperhatikan pada bulan-bulan lain, Rumah-rumah Allah (masjid atau surau) kebanyakkannya tidak sehebat dibulan Ramadhan. Sunyi dan sepi kerana tidak ramai yang datang untuk solat berjamaah, paling ramai berjamaah adalah pada hari jumaat sahaja. Tetapi dengan kedatangan Ramadhan setiap tahun, kita boleh lihat kemeriahan Rumah Allah dipenuhi para jamaah dari semua peringkat umur, anak-anak kecil, remaja, dewasa dan golongan tua semuanya hadir untuk sama-sama mengimarahkan rumah Allah. Alhamdulillah…

Sedangkan solat secara berjemaah amat digalakkan oleh Islam walaupun bukan dibulan Ramadhan. Oleh itu, marilah kita kekalkan suasana kemeriahan berjamaah ini pada bulan-bulan lain juga.
Selain solat terawih, kemeriahan bulan Ramadhan dapat dirasakan dengan bertadarrus al-Quran. Kita digalakan memperbanyakkan membaca al-Quran dibulan ini kerana dibulan Ramadhan turunnya al-Quran. Oleh itu, walaupun sibuk macammana sekali pun, bacalah al-Quran walaupun satu ayat. Itu sudah memadai daripada kita tidak membaca langsung, tetapi sebaiknya kita berusahalah untuk mengkhatamkan al-Quran walaupun satu kali sepanjang Ramadhan ini.

Di samping itu, amalan sedekah juga menjadi penyeri dibulan Ramadhan ini. Kita digalakan untuk bersedekah lebih-lebih lagi dibulan yang mulia dan penuh keberkatan ini. Mudah-mudahan segala amalan yang kita lakukan dibulan yang barakah ini dapat mendekatkan lagi diri kita kepada Allah SWT.

Justeru itu, marilah sama-sama kita meriahkan lagi Ramadhan kali ini dengan melakukan segala perintah Allah  SWT dan meninggalkan segala larangan NYA agar kita semua tergolong di dalam golongan hamba-NYA yang bertaqwa. Ramadhan Karem, Kullu Amm Waantum Bilkhair…

Apa itu Tahaluf Siyasi..??

HUKUM TAHALUF SIYASI DALAM KONTEKS GERAKAN ISLAM MASAKINI

Disediakan oleh:
Ahmad Fadhli bin Shaari
Pensyarah KIAS

Pendahuluan

Istilah tahaluf siyasi menjadi satu istilah yang semakin dikenali khususnya di kalangan pendokong gerakan Islam. Dengan kejatuhan khilafah Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924, gerakan Islam yang pertama ditubuhkan ialah Ikhwan al-Muslimin di bawah pimpinan Hassan al-Banna pada tahun 1928. Penubuhan gerakan ini di Mesir membayangkan hasrat untuk menegakkan Haikimiyyah Allah SWT. Idealisme ini berkembang ke seluruh dunia dengan penubuhan gerakan-gerakan Islam di hampir setiap negara di dunia. Matlamat dan konsep perjuangan mereka hampir sama antara satu lain iaitu ke arah menegakkan sebuah negara Islam dan lebih jauh dari itu menghidupkan semula sistem khilafah yang telah berkubur.

Dalam keadaan hari ini, amatlah disedari oleh gerakan-gerakan Islam bahawa mereka tidak mampu untuk berdiri sendiri dalam memperjuangkan aspirasi masing-masing. Di dalam sesebuah negara bangsa yang dibina pada zaman moden ini, tidak semua rakyat memahami inti kandungan Islam dan kebaikan-kebaikannya. Lantas, berlakulah keperluan untuk bekerjsama dengan gerakan lain samada di dalam menyertai politik pilihanraya atau sebagai pendokong di dalam pembentukan kerajaan. Perosalannya, adakah ia merupakan satu keharusan? Dalam erti kata lain, haruskah bagi sesebuah gerakan Islam untuk menjalinkan kerjasama dengan gerakan lain yang tidak mempunyai hasrat yang sama dengannya dalam membentuk kerajaan?

Pengertian Tahaluf Siyasi

Tahaluf Siyasi membawa makna kerjasama harakah Islam dengan mana-mana pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama. Tahaluf Siyasi juga kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi untuk menentang ideologi harakah Islam. Dalam suasana hari ini, tahaluf siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan Islam untuk menghadapi musuh yang sama.

Hukum Tahaluf Siyasi

Para ulama haraki khususnya berbeza pandangan mengenai hukum melakukan kerjasama dengan gerakan yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam. Sebahagian daripada mereka dengan tegas menolak langsung sebarang usaha melakukan kerjasama ini serta menghukumkan bahawa kerjasama ini sebagai haram. Di antara mereka ialah Sheikh Muhammad Qutb dan al-Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin Abdullah . Manakala di antara ulama yang mengharuskan tahaluf siyasi ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi , Dr Mustoffa al-Tohhan , al-Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid , Doktor Solah al-Showi dan Doktor Munir Ghahdban .

Dalil-dalil yang dipegang oleh ulama yang mengharamkan tahaluf siyasi ialah seperti berikut :

1. Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (51) فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَنْ تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِنْ عِنْدِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَى مَا أَسَرُّوا فِي أَنْفُسِهِمْ نَادِمِينَ (52)

Yang bermaksud : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: "Kami takut akan mendapat bencana". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri mereka.

Hujah : Kerjasama gerakan Islam dengan orang-orang kafir di atas dasar politik akan menjauhkan lagi orang-orang Islam daripada mereka. Ini kerana, Islam mengharamkan sebarang jenis wala’ kepada kepada ahli kitab yang mempunyai akidah yang hampir sama dengan Islam, apatah lagi wala’ kepada orang-orang kafir yang akidah mereka langsung tidak mempunyai persamaan dengan akidah Islam.

2. Firman Allah SWT :

فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا

Yang bermaksud : Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya

Hujah : Ayat di atas berkenaan dengan pengharaman arak dan judi. Namun jika dilihat dari sudut tahaluf siyasi, kerjasama dengan musuh mungkin mendatang manfaat dari beberapa sudut, bagaimanapun dari sudut yang lebih jauh iaitu ke arah menegakkan hakimiah Allah SWT, ia tidak akan dapat dicapai. Lantas, kerjasama akan menyebabkan terbantutnya usaha gerakan Islam untuk menegakkan daulah Islamiah. Oleh yang demikian, kerjasama ini adalah haram kerana lebih banyak mendatangkan mudharat daripada manfaat.

3. Pertimbangan logik bahawa gerakan yang tidak berhasrat untuk menegakkan Islam ini pastinya hanyalah menjadikan gerakan Islam sebagai jambatan untuk mereka mendapatkan kuasa. Mereka sekali-kali tidak membiarkan gerakan Islam ini berkembang sehingga mengatasi diri mereka. Dan ini sekali lagi akan menghalang kepada tertegaknya daulah Islamiah seperti yang diperjuangan oleh Harakah Islamiah.

Manakala bagi golongan ulama haraki yang mengatakan tahaluf siyasi sebagai sesuatu yang diharuskan, mereka berpegang dengan hujah-hujah berikut :
1. Half al-Fudhul : Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman jahiliyyah iaitu perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong golongan yang dizalimi. Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis baginda yang menyatakan :

وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً

Yang bermaksud : Mana-mana perjanjian yang dilaksakanan ketika jahiiyyah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin patut dilaksanakan - membawa makna mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang baik.

Hujah : Sekalipun Nabi SAW menyaksikan perjanjian ini ketika jahiliyyah, tetapi kerana Nabi telah memujinya semasa Islam, ia dianggap sebagai perkara yang baik. Ini menunjukkan bahawa sekalipun yang berada dalam ikatan perjanjian itu orang-orang yang berakidah salah, ia tetap dianggap perjanjian yang baik selagi mana tujuannya adalah baik.

2. Perjanjian Rasulullah SAW dengan bapa saudaranya Abu Talib untuk menjaganya serta memeliharanya dari ancaman kaum Quraisy. Tahaluf di antara mereka berdua berlaku dalam beberapa peringkat :

2.1 Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib lantas menyatakan : “Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa yang kamu hendaki. Demi Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa selama-lamanya” Kata-kata ini dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di mana pernah beliau mengetahui tentang sekumpulan kaum Quraisy yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, lalu dikumpulkan bani Abdul Mutalib dan Bani Hasyim untuk melindungi baginda SAW. Mereka semua berkumpul termasuklah yang masih kafir untuk melindungi Nabi Muhammad SAW.

2.2 Peringkat berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan pemulauan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak balas kerana mereka melindungi Rasulullah SAW. Lalu ditulis surat penguatkuasaan di mana tidak dibenarkan sesiapa pun menikahi atau dinikahi oleh kedua-dua kabilah ini. Juga tidak dibenarkan berlakunya urusan jual beli dengan kedua-duanya. Surat ini ditampalkan di dinding kaabah.

Hujah : Di dalam peristiwa-peristiwa ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa menjadi satu keharusan jamaah Islam untuk mendapat perlindungan daripada orang yang bukan Islam demi mencapai matlamat perjuangannya. Namun ia tidaklah sampai kepada peringkat tunduk dan patuh sehingga menggadaikan perjuangannya.

3. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi perang Badar, “Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”

Hujah : Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Mut’im tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika ia menjawab soalan dari Abu Jahal . Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari orang yang tidak berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan kebaikan kepada Islam dan umatnya.

4. Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi ketika ditegakkan negara Islam Madinah. Perjanjian yang melahirkan Sahifah Madinah ini merupakan satu-satunya peristiwa besar dan terpenting yang menjadi hujjah keharusan kaum muslimin menjalinkan perjanjian dengan orang-orang bukan Islam di atas dasar memelihara kebajikan kedua-dua pihak.

Di antara isi kandungan perjanjian ini ialah, “Kaum muslimin mempunyai haknya dan kaum Yahudi mempunyai haknya. Dan di antara mereka hendaklah tolong menolong sekiranya diserang oleh sesiapa. Dan di antara mereka hendaklah saling menasihati dan bekerjasama. Dan janganlah sesiapa memungkiri janjinya. Dan hendaklah pertolongan diberikan kepada yang dizalimi. Dan sekiranya berlaku apa-apa kepada pihak yang menjalinkan perjanjian ini, maka tempat rujukan ialah kepada Allah dan Muhammad Rasulullah SAW…”

Hujah : Inilah sebesar-sebar hujah keharusan melakukan hubungan dengan non-muslim di dalam menegakkan negara Islam. Dan tidaklah menjadi dasar Islam mengenepikan kaum musyrikin daripada realiti kehidupan.

5. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Bani Khaza’ah. Ia berlaku apabila baginda bersama para sahabat ingin memasuki kota Makkah untuk mengerjakan haji namun disekat oleh kaum Quraisy. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan pengintip dari bani Khaza’ah yang merupakan seorang musyrik dan mereka melaporkan kepada Rasulullah SAW mengenai pergerakan kaum Quraisy. Bani Khaza’ah sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan Bani Hasyim semenjak zaman jahiliyyah dan mereka meneruskan hubungan baik mereka dengan Bani Hasyim sekalipun berbeza akidah. Rasulullah SAW mengiktiraf hubungan ini dengan memberikan syarat iaitu pertolongan tidak akan diberikan kepada golongan yang zalim.

6. Perintah Rasulullah SAW kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah semasa ditindas di Makkah untuk mendapatkan perlindungan dari Raja Najasyi yang merupakan seorang Nasrani pada masa itu turut merupakan dalil kepada keharusan untuk mendapatkan perlindungan dari orang yang bukan Islam di dalam menjaga kemaslahan umat Islam.

Jawapan Terhadap Golongan Yang Mengharamkan Tahaluf Siyasi
Di dalam memberikan jawapan kepada golongan ulama haraki yang mengharamkan tahaluf siyasi, beberapa pandangan telah dikemukakan. Antara lain :
1. Ayat yang digunakan iaitu dari surah al-Maidah, ayat 51-52 bukanlah merujuk kepada tahaluf siyasi tetapi merujuk kepada orang-orang munafik yang terus meletakkan kepatuhan kepada orang-orang Yahudi di Madinah. Ianya turun kepada ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai yang bertindak untuk menyokong kabilahnya Yahudi Bani Qainuqa’ di dalam berhadapan dengan Nabi Muhammad SAW. Ini menunjukkan bahawa ayat ini tiada kena mengena dengan tahaluf siyasi tetapi berkenaan dengan orang yang keluar langsung dari Harakah Islam untuk bekerjasama dengan musuh bagi melawan Islam.

2. Ayat 219 dari surah al-Baqarah pula bukan sahaja tidak menjadi hujah mengharamkan tahaluf siyasi bahkan menjadi peneguh kepadea keharusannya. Ini kerana daripada tahaluf siyasi yang dilaksanakan di beberapa buah negara seperti Mesir, Sudan dan Yaman, manfaat yang besar banyak diperolehi oleh kaum muslimin. Oleh yang demikian, di dalam masalah manfaat dan mudharat ini, pertimbangan berdasarkan senario semasa perlu diambil kira. Tahaluf Siyasi sebelum diputuskan hendaklah dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pakar politik dan ahli-ahli strategi.

KESIMPULAN
Di dalam mendepani arus politik dunia pada hari ini, gerakan Islam perlulah bijak mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang ada. Tahaluf siyasi perlulah dilakukan dalam keadaan gerakan Islam mendapat keuntungan yang maksimum dalam usaha untuk menegakkan agama Allah SWT. Bagaimanapun, perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan hendaklah dilakukan dari masa ke semasa khususnya kepada masyarakat awam agar tidak terkeliru dengan langkah yang diambil.

Penyertaan gerakan Islam dalam mana-mana kerajaan seharusnya dilakukan dengen penelitian yang teliti terhadap senario politik setempat. Oleh yang demikian, pimpinan gerakan Islam perlulah sentiasa prihatin dan sensitif dengan perkembangan semasa serta kehendak masyarakat agar langkah yang diambil tidak menyebabkan kerugian di mereka nanti.

Maklumat Penulis :

Ahmad Fadhli bin Shaari
B.A (Hons) Dakwah Islamiyyah, Univ. Al-Azhar, Mesir.
Penulis merupakan Ketua Jabatan al-Dakwah wal Qiadah

~ Sumber: http://www.kias.edu.my/ ~

3 Kecelaruan Utama Yang Melanda ISMA


Saya rasa tajuk artikel ini tidak melampau kerana pemimpin ISMA pernah menulis artikel terbuka kepada umum berkenaan apa yang dikatakan sebagai krisis indentiti PAS. Maka, jika saya yang tak ada nama ini menulis artikel menggunakan tajuk ini, ia tidak sebesar apa yang ISMA pernah lakukan pada PAS. Artikel ini agak panjang, namun saya tidak berhasrat untuk membahagikannya menjadi artikel bersiri kerana isu ini perlu dijelaskan secara terus agar dapat memberikan kefahaman yang menyeluruh. Mohon maaf kepada yang kurang berminat dengan penulisan yang panjang lebar.

Berkenaan isu kerjasama dan persepakatan antara PAS dan UMNO, saya tidak menafikan ia merupakan idea yang baik. Namun, saranan ini perlulah dijelaskan dengan lebih detail terutama berkaitan bentuk kerjasama dan syarat yang Islam tetapkan dalam kerjasama itu. Melontarkan idea kerjasama ini kemudian mencampuradukkan penjelasannya hanya akan menggambarkan pendirian yang tidak tetap. Sekejap kata PAS tidak perlu keluar PR tetapi mesti jadi dominan dalam PR, sekejap kata PAS wajib tinggalkan PR. Bukankah ia mengelirukan dan menggambarkan pendirian yang tidak tetap?

Di dalam dunia demokrasi hari ini, kerjasama antara PAS dan UMNO boleh berlaku di dalam dua keadaan. Pertama, kerjasama isu dan kepentingan bersama. Kedua, kerjasama politik. Saya tidak pasti kerjasama apa yang dimaksudkan oleh ISMA. Tetapi ada dua pendapat yang saling bercanggah.

Pertama pendapat yang mengatakan persepakatan Melayu tidak mewajibkan pergabungan parti, tetapi cukup untuk bersepakat di dalam isu yang melibatkan kepentingan umat Islam dan parti Melayu baik di dalam BN dan PR, mesti menjadi dominan. Pendapat ini dikarang oleh aktivis ISMA, Zaizul Azizi Zaman di dalam web ISMA bertarikh 14 Mac 2012. Pendapat kedua adalah pendapat 'berteraskan' Usul Fiqh yang dikarang oleh Ust Mohd Hazizi Ab Rahman di dalam blog beliau bertarikh 29 April 2012 yang menyebut wajib PAS bergabung dengan UMNO dan wajib juga meninggalkan DAP.

Seruan Kerjasama Berteraskan Isu, Tetapi Kerjasama Politik PAS-DAP Yang Diserang

Saya melihat ISMA selalu menyatakan bahawa seruan ISMA adalah untuk perpaduan Melayu Islam. Dengan kerjasama yang melibatkan kepentingan umat Islam, PAS dan UMNO akan mengukuhkan kedudukan umat Islam di Malaysia. Saya akuinya. Cuma yang saya ingin bertanya, jika seruan kerjasama isu menjadi fokus, kenapa hubungan politik PAS di dalam PR terutamanya DAP menjadi sasaran kecaman ISMA saban hari? Kenapa 'serangan' yang sama tidak pernah dilafazkan pada UMNO?

ISMA nampaknya meletakkan hukum bahawa dengan kerjasama politik yang terjalin antara PAS dan DAP, maka PAS tidak akan mempedulikan isu-isu yang melibatkan orang Islam dan membiarkannya tanpa membantu. Jika ini yang berlaku, maka ia amat dikesali. Sedangkan dengan jelas terbukti PAS selama mana berkerjasama dengan DAP, kebajikan dan hak-hak orang Islam terus diperjuangkan di mana-mana sahaja terutama di negeri-negeri yang ditadbir PR. Dakwah, hak Bumiputera, ekonomi orang Melayu dan apa jua perkara demi kebaikan orang Melayu, semuanya diperjuangkan PAS tanpa kompromi, namun berstrategi.

Jika perpaduan Melayu yang ISMA cari, maka ISMA sepatutnya menjadi jambatan yang akan menghubungkan antara PAS dan UMNO di dalam banyak isu yang memberi keuntungan kepada orang Melayu Islam, tetapi gagal disepakati kerana dendam politik. Isu hudud, royalti, ceramah agama yang dihalang, Sekolah Agama Rakyat dan yang terbaru seruan Tuan Guru Haji Abdul Hadi tentang pindaan takrifan agama daripada religion kepada Ad-Din. Semua isu ini adalah demi kebaikan umat Islam tetapi digagalkan sehingga membawa kesengsaraan kepada orang Melayu Islam.

Namun, apa yang diperbesarkan oleh ISMA saban hari adalah menafikan ijtihad ulama PAS berkenaan tahalluf siyasi yang PAS lakukan bersama PKR dan DAP, dalam keadaan kerjasama politik PAS ini sama sekali tidak menghalang PAS untuk memberikan komitmen bersama UMNO untuk isu-isu yang menyentuh kebaikan umat Islam. Seolah-olah seruan perpaduan ini hanya pada PAS sedangkan ianya untuk UMNO juga. Satu persatu kenyataan pimpinan ISMA menyerang PAS sebagai punca gagalnya penyatuan Melayu Islam hanya kerana PAS bersama dengan DAP di dalam politik

Inilah kecelaruan pertama yang saya nampak terdapat pada pimpinan ISMA iaitu apa yang digariskan tidak sama dengan apa yang dilakukan. Yang digariskan adalah seruan kerjasama PAS-UMNO di dalam isu bersama tetapi yang dilakukan adalah serangan terhadap PAS disebabkan PAS jalin kerjasama politik dengan DAP. Perkara ini berterusan sebulan dua ini walaupun PAS bersama ulamanya sudah menerangkan berkali-kali berkenaan tahalluf siyasi ini, namun pernah ISMA cuba untuk memahami dan menghormati PAS?

Masalah Umat Islam Boleh Diselesaikan Tanpa Pergabungan Politik

ISMA terus menerus mengatakan bahawa masalah umat Islam hanya boleh selesai jika UMNO dan PAS bersatu, di mana yang saya lihat kesatuan yang ISMA maksudkan adalah kesatuan politik (disebabkan serangan berterusan mereka kepada ijtihad tahalluf siyasi PAS). Dengan maksud yang lain, masalah orang Melayu tidak akan selesai selagi mana PAS dan DAP bergabung dalam kerjasama politik.

Di sini, saya ingin mengatakan bahawa masalah yang dihadapai orang Melayu yang selalu diulang-ulang oleh ISMA dan diletakkan kesalahan kepada PAS seperti murtad, kebangkitan liberalisme, LGBT, hedolisme dan lain-lain boleh diselesaikan tanpa PAS dan UMNO melakukan pergabungan politik. Ramai cendikiawan termasuk Dr MAZA sendiri mengatakan bahawa PAS dan UMNO tidak perlu bersatu dalam erti kepartian, tetapi dalam bentuk kerjasama isu yang memberikan keuntungan kepada umat Islam. Sistem dua parti adalah penting sebagai check and balance dan mengelakkan monopoli kuasa yang akan menyebabkan ketidakstabilan politik di negara berbilang bangsa seperti Malaysia.

Satu penyelesaian yang boleh dilakukan yang telah pun dicadangkan oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abd Hadi adalah pindaan atau perubahan pentafsiran perkataan 'agama' di dalam Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan. Mengikut penghakiman kes Suzie Teoh tahun 1987, pengislaman Suzie Teoh disimpulkan sebagai tidak sah kerana walaupun pengislamannya sah mengikut undang-undang Islam, tetapi ia bersifat sebaliknya di sisi undang-undang sivil.

Agama Bagi Persekutuan Adalah Pada Urusan Ritual Dan Keagamaan Sahaja

Di dalam kes ini, Artikel 3 diperbahaskan terutama pada perkataan 'agama' bagi menentukan hukum Islam Suzie Teoh yang sah di sisi undang-undang Islam itu, juga sah di sisi perlembagaan dan undang-undang sivil. Pentafsiran perkataan 'agama' telah dirujuk kepada standard Perlembagaan Komenwel disebabkan Perlembagaan Malaysia adalah di bawah naungan Komenwel. Maka, takrifan yang digunapakai adalah perkataan 'agama' ini membawa maksud 'religion' iaitu tertakluk kepada urusan ritual dan keagamaan sahaja seperti yang diamalkan oleh negara Komenwel lain di Eropah.

Dengan penafsiran ini, maka Islam Suzie Teoh dikatakan tidak sah kerana Islam sebagai agama bagi Persekutuan hanya pada urusan ibadah dan keagamaan sahaja, bukan hukum hakam. Apabila dirujuk kepada Artikel 11 yang menghalang orang di bawah 18 tahun mengubah agamanya dan Artikel 4 yang mengatakan undang-undang yang bercanggah dengan perlembagaan akan terbatal, maka Suzie Teoh dihukumkan sebagai tidak sah di sisi undang-undang sivil. Namun, atas jasa Tun Salleh Abas yang menyorokkan fail perbicaraan selama 2 tahun dan membacakan keputusannya setelah Suzie Teoh berumur 18 tahun, maka selamatlah aqidah seorang anak Cina!

TGHH mengajukan cadangan pindaan ini demi untuk keselamatan aqidah dan kepentingan umat Islam. Dengan menukarkan takrifan 'agama' daripada 'religion' kepada 'Ad-Din', maka Islam diiktiraf oleh perlembagaan sebagai cara hidup. Ia merangkumi ibadah, hukum hakam dan undang-undangnya. Dengan pindaan ini, hukum hakam Islam menjadi sebahagian daripada perlembagaan. Ia akan menyelesaikan pelbagai masalah termasuk ancaman liberal dan LGBT yang kerap menggunakan Artikel 10 (kebebasan bersuara) sebagai hujah dan juga menyelamatkan aqidah umat Islam dari murtad yang kerap menggunakan Artikel 11 (kebebasan beragama) sebagai hujah untuk murtad.

Namun, saya ingin bertanya kepada ISMA dan mohon menjawab dengan jujur. Siapakah suara Melayu Islam pertama yang membantah dan tidak bersetuju dengan idea terbaik ini malah menuduh ia mainan politik PAS? Jika tidak tahu jawapan, saya ingin memberitahu merekalah pemimpin Melayu Islam kita iaitu UMNO! PAS membawa satu cadangan pindaan perlembagaan yang penting demi kebaikan umat Islam, yang menentangnya adalah orang Melayu Islam yang ingin disatukan dengan PAS oleh ISMA iaitu UMNO. Maka, bagaimana PAS dikatakan punca perpecahan Melayu sedangkan PAS dikhianati oleh rakan sebangsa dan seagama hanya kerana dendam politik!

PAS Terus Menerus Dikhianati

ISMA memberikan idea perpaduan Melayu Islam, saya pula membantu dengan memberikan dalilnya. Di dalam Al Quran, surah Ali Imran ayat 103 berbunyi :
وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعاً وَلاَ تَفَرَّقُواْ
Bermaksud : Berpeganglah kamu semua dengan tali (agama) Allah dan janganlah berpecah belah.

Bersatu di sini hendaklah di atas ajaran Islam, menepati kehendak Al Quran dan Hadith, selaras dengan prinsip-prinsip yang Islam gariskan sesuai dengan Islam yang terkenal sebagai agama syumul dan lengkap. Bertepatan dengan ayat ini, UMNO dan PAS mampu untuk saling bantu-membantu, bersatu pada perkara yang memberikan keuntungan kepada umat Islam. Walaupun berbeza parti, tetapi atas dasar satu agama dan bangsa, kerjasama boleh terjalin demi kebaikan umat Islam.

Terdapat banyak peluang lain yang boleh menyatukan UMNO dan PAS. Contoh ringkas yang dapat saya berikan seperti isu hudud, royalti minyak Kelantan, sekolah agama rakyat (SAR), pergerakan dakwah, matlamat negara Islam, pendidikan agama, masalah hedolisme dan pelbagai lagi isu yang tidak dapat saya sebutkan semuanya. Semua yang disebutkan ini adalah masalah dan isu utama umat Islam di Malaysia di mana selagi ianya tidak selesai, maka perpecahan dan kelemahan umat Islam akan menjadi lebih besar dan membarah.

Sekali lagi saya ingin bertanya, siapakah yang menggagalkan semua ini kerana dendam politik? Rakyat Kelantan 90% adalah Melayu Islam. Pengkhianatan UMNO terhadap royalti milik rakyat Kelantan telah menyebabkan mereka terjerut dengan kemiskinan dan masalah kewangan sejak sekian lama. Undang-undang hudud dihalang perlaksanaannya, ia merupakan pengkhianatan kepada hukum Allah. Seruan wajib bersatu yang dinyatakan oleh Ustaz Usul Fiqh ISMA sepatutnya ditujukan lebih khusus kepada UMNO. Pengkhianatan UMNO inilah yang merupakan titik permulaan kepada perpecahan dan masalah lebih besar kepada umat Islam di negara kita.

Saya memohon ISMA untuk menyeru kepada UMNO untuk membantu PAS di dalam menyelesaikan masalah ini demi kebaikan umat Islam. ISMA sebagai NGO Islam boleh meminta UMNO untuk menyokong pindaan Artikel 3 yang TGHH cadangkan. Minta juga UMNO untuk membantu perlaksanaan hudud di Kelantan. Cadangkan juga agar royalti minyak diberikan kepada kerajaan Kelantan. Kemudian mohon untuk memberikan bantuan kepada SAR. Meminta kerajaan tidak menyekat pendakwah yang diakui ilmunya untuk berdakwah. Membantu PAS untuk merealisasikan negara Islam dan membantu untuk menerangkan kepada bukan Islam tentang keindahan Islam. Laksanakan pendidikan agama yang lebih kukuh dan menggarap hiburan yang dibenarkan Islam di Malaysia.

Maka, hukum haram tidak bersatu yang ISMA ingin lontarkan sepatutnya kepada UMNO. Tetapi apa yang berlaku di sebaliknya. PAS terus menerus dikatakan punca perpecahan orang Melayu hanya kerana PAS bekerjsama dengan DAP sedangkan PAS banyak mengusahakan untuk menyelesaikan masalah perpecahan, aqidah, ekonomi, pendidikan dan serangan sekularisme terhadap umat Islam. Namun,adakah UMNO membalasanya?

Di sinilah kelihatan jelas kecelaruan ISMA yang kedua iaitu seruan dan tindakan dibuat tanpa melihat realiti yang berlaku. Hinggakan seruan yang sepatutnya lebih ditujukan kepada UMNO, diarahkan kepada PAS. PAS dikatakan haram berkerjasama dengan DAP sedangkan ia perlu dilontarkan kepada UMNO yang banyak mengkhianati umat Islam.

Iklim Politik Negara Memerlukan PAS Untuk Bergabung

Di dalam lapangan politik, PAS selaku satu-satunya parti yang berteraskan Islam, yang memperjuangkan syariat dan perlaksanaan Islam di dalam pemerintahan negara tidak mampu untuk menang dengan sendirinya 112 kerusi Parlimen bagi mendapat majoriti mudah, apatah lagi 148 kerusi untuk majoriti 2/3. Waqi' politik di Malaysia memerlukan PAS untuk bergabung dengan parti-parti lain bagi membentuk kekuatan menguasai majoriti di Parlimen, seterusnya menubuhkan kerajaan untuk menjalankan dasar yang diperjuangkan.

Bagi idea bergabung ini, suka saya membawakan satu ayat dari surah Al Ma'idah ayat ke 2 di hujungnya berbunyi :
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Bermaksud : Dan bertolong bantulah kami dalam perkara kebaikan dan ketaqwaan dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara kemungkaran dan melampaui batas. Bertaqwalah kepada Allah sesungguhnya siksaan Allah itu amat berat.

PAS mesti mencari rakan parti yang membantu ke arah kedua-dua perkara ini iaitu kebaikan dan ketaqwaan. Dengan ayat mudah, PAS mesti mencari rakan politik yang membolehkan PAS melaksanakan perjuangan dan dasar Islam yang dibawa seperti negara Islam dan hudud. Namun, sejauh manakah PAS mampu mencari rakan yang boleh bersama membawa dan menjayakan dasar Islam yang PAS bawa?

Tiada Yang Terima Dasar Islam, Bagaimana Pula Dasar Kebaikan Dan Keadilan?

Kita sedia maklum, tiada mana-mana parti selain PAS yang ingin membawa dasar Islam di dalam pemerintahan negara. ISMA mungkin mengatakan UMNO membawa dasar Islam, saya serahkan kepada para pembaca samada untuk bersetuju atau tidak. Bagi saya, tiada selain PAS yang membawa dasar Islam. UMNO dengan kebangsaan dan sekularnya, MCA dan MIC juga dengan bangsa mereka dan sekular, PKR dengan sosialisnya, DAP dengan sekularnya. Maka, dengan pertimbangan apa pula seterusnya untuk PAS mencari kawan politiknya?

Jika dasar ketaqwaan tidak dapat dicari, maka ciri kedua yang menjadi penentu siapakah rakan politik PAS adalah kebaikan, keadilan, dan ketelusan. Elemen ini amat dituntut dalam Islam dan menjadi ciri-ciri utama pemerintahan yang dicadangkan Islam. Seperti tercatat di dalam kitab Tafsir Qurtubi bahawa perkataan 'Al Bir' itu membawa maksud kebaikan yang khusus untuk sesama manusia. Maka, siapakah di kalangan parti-parti politik selain PAS yang mendokong dasar keadilan dan ketelusan ini.

Jika ISMA menjawab UMNO, saya serahkan sekali lagi beserta senyuman kepada para pembaca untuk menilai. Dalam penilaian PAS, UMNO-BN adalah sangat jauh dari ciri keadilan dan ketelusan ini. Sudah menjadi rahsia umum bahawa BN terutamanya UMNO adalah terkenal dengan rasuah, penyelewengan, pembaziran, ketidaktelusan dan korupsi. Sejak 50 tahun lalu terutamanya dua dekad terakhir ini, berapa billion wang negara lesap, samada melalui pembaziran, ketirisan dan penyelewengan.

Tiada Kerjsama Dengan Parti Rasuah!

Di sinilah PAS melihat terdapat persamaan perjuangan keadilan, ketelusan dan kebaikan ini pada PKR dan DAP. Ini terbukti sepanjang 4 tahun pemerintahan mereka di Selangor dan Pulau Pinang. Rekod menunjukkan betapa banyak penjimatan dapat dibuat, betapa banyak pendapatan dijana dan betapa banyak hasil dipulangkan kepada rakyat. Manakala cuba cari mana-mana pertuduhan penyelewengan dan ketirisan yang dapat dibuktikan di mahkamah disabitkan kepada mereka. Nilai inilah yang menjadi titik persamaan mereka dengan PAS. Walaupun tidak membawa dasar Islam seperti PAS, mereka membawa dasar keadilan yang diperjuangkan Islam. Ia sangat berbeza dengan UMNO di mana Islam tidak diperjuangkan, manakala penyelewengan menjadi imej utama UMNO.

Bertepatan dengan ayat Quran di atas tadi, PAS sama sekali tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO selagi mana UMNO kekal dengan budaya rasuah, pembaziran, ketirisan, penyelewengan dan ketidaktelusan. Ini adalah kerana PAS selaku parti memperjuangkan keadilan Islam, jika bergabung dengan UMNO seolah-olah akan memadamkan dosa penyelewengan UMNO dan meredhai kezaliman yang UMNO lakukan. Penggabungan dengan UMNO juga akan memberikan kekuatan politik dan kemenangan moral kepada UMNO untuk terus memerintah negara dengan budaya penyelewengan yang berterusan.

Bersama DAP dan PKR juga, PAS dapat melaksanakan dakwah Islam dengan lebih luas, jauh lebih baik daripada zaman tahalluf siyasi dengan UMNO-BN pada tahun 1969-1978. PAS diberikan ruang seluasnya untuk menerangkan Islam. Dakwah Islam diterima dengan sangat baik. Dakwah disampaikan pada semua golongan tidak kira Mat Rempit, artis, pegawai kerajaan, orang seni, sasterawan, tua, muda, kaya, miskin. Tidak pernah lihat masyarakat menerima Islam secara afwaja seperti hari ini.

Peluang menjadi sebahagian daripada kerajaan di beberapa buah negeri digunakn sepenuhnya untuk menyampaikan Islam. Hinggakan isu yang dahulunya menjadi ketakutan kepada bukan Islam seperti hudud dan negara Islam, kini orang bukan Islam telah memahaminya dengan baik, malah duduk sekali di dalam majlis dakwah umat Islam! Sangat berbeza dengan UMNO sehinggakan hasrat untuk melihat satu ceramah agama dan dakwah di Putrajaya International Convention Centre pun dibatalkan hanya kerana ustaz yang akan menyampaikan ceramah itu dilabel sebagai Ustaz PAS. Apa kata ISMA dalam hal ini?

Tahulluf Siyasi PAS

Atas pertimbangan inilah ulama PAS membuat keputusan untuk mengadakan apa yang dinamakan tahlluf siyasi (kerjasama politik) bersama DAP dan PKR berdasarkan persamaan di dalam perjuangan menentang kezaliman dan rasuah.Adapun kerjasama ini sama sekali tidak akan membuatkan PAS mengorbankan perjuangan Islam yang dibawa sekian lama. PAS kekal dengan prinsip dan cita-cita untuk menegakkan Islam sepenuhnya di dalam negara, walaupun secara berstrategi.

Tidak dinafikan terdapat 'usikan nakal' rakan-rakan PAS berkenaan hasrat PAS ini. Tetapi, PAS tidak membalasnya dengan hunusan keris, pekikan Hang Tuah apatah lagi dengan senaman punggung. PAS balas dengan penerangan demi penerangan disamping kekal bertegas dengan prinsip. Hasilnya, DAP dan PKR kini mengenali PAS bukan parti yang mudah mereka umpan untuk meninggalkan perjuangan Islam. Hasil ini jauh lebih baik dari 'dakwah' UMNO kepada MCA sehinggakan UMNO diam menikus apabila MCA menjerkahnya berkenaan isu hudud!

Namun, kenapa ISMA seolah-olah tidak mahu faham dan terus menerus mempertikaikan ijtihad politik PAS ini. PAS bersama ulamanya yang merupakan ahli di dalam lapangan jihad siasah di Malaysia langsuung tidak dihormati oleh ISMA. ISMA terus menerus menganggap PAS salah segalanya dan ISMA betul segalanya. Walaupun yang diseru adalah penyatuan Islam, tetapi tahalluf siyasi inilah yang dipermainkan ISMA setiap hari.Inilah kecelaruan ketiga yang melanda ISMA iaitu bertindak mengatasi bidang pengkhususannya sehingga menafikan ijtihad ahli bidang tersebut.

Di Manakah Pendirian ISMA?

Di dalam kelantangan ISMA menghujum PAS, saya ingin bertanya, di manakah pendirian ISMA di dalam isu-isu penyelewengan dan ketidaktelusan yang berleluasa di negara kita. Dalam isu rasuah NFC, di manakah suara ISMA? Adakah perjuangan mempertahankan hak rakyat bukan agenda umat? Di dalam isu Bersih dan penyelewengan pilihan raya, apakah pendirian ISMA? Tak mengapa, saya dah tahu. Tak perlu perjuangkan sangat kerana umat Islam belum menjadi suara majoriti. Lagipun ia tidak membawa agenda umat!!

Mampukah ISMA bersuara lantang di hadapan UMNO untuk menentang penyelewengan seperti lantangnya mereka mengkritik PAS. Adakah ISMA ingin menafikan membersihkan negara dari penyelewengan dan ketidakadilan bukan keutamaan di dalam pemerintahan Islam. Saya pasti, ramai ahli ISMA yang ikhlas untuk mendapat tarbiyah, mengenal Islam dan mendapat bimbingan dakwah merasa kecewa dan keliru dengan kenyataan dan pendirian yang pimpinan ISMA keluarkan setiap hari.

Inilah tiga kecelaruan yang dapat saya kenal pasti berlaku kepada ISMA. Ia tidaklah sebesar krisis identiti PAS yang didakwa oleh ISMA sebelum ini. Saya menyeru ISMA untuk kembali kepada pendirian yang benar iaitu NGO yang bebas, mengkritik dengan ikhlas dan seimbang, berpandukan penilaian Islam yang syumul, menghormati ijtihad jemaah lain dan bertolong bantu pada keadilan dan kebaikan.

Jika tidak, ISMA sedang merosakkan thiqah masyarakat kepadanya dengan terus-menerus membiarkan dirinya dipergunakan oleh pihak berkepentingan untuk kelangsungan kuasanya samada secara sedar atau tidak sedar. Pendirian senget sebelah yang dikemukan dibimbangi menjadi tongkat kekuatan buat pihak yang rasuah. ISMA boleh menafikan, tetapi tindakan pimpinan mereka membenarkannya. Mohon berlapang dada dengan artikel terbuka yang kurang ilmiah ini, bukan dari orang besar pun. Hanya teguran ikhlas dari seorang hamba Allah yang biasa.

Mohd Azrul Azuan bin Idris
Bukan pakar Usul Fiqh
21 Mei 2012, 9.36 malam.
Hussien, Kaherah.

Sweet Memories